PINDAAN KEWARGANEGARAAN HANYA LEGA UNTUK SEBAHAGIAN SAHAJA
SYAMSUL AZHAR AB. AZIZ

Pada 17 Oktober 2024, undang-undang berkenaan permohonan kewarganegaraan Malaysia diluluskan Parlimen untuk dipinda.
Jika dulu status kewarganegaraan seorang anak hanya boleh ditentukan oleh status kerakyatan ayahnya. Kini Perlembagaan Persekutuan membenarkan kewarganegaraan seorang anak ditentukan melalui status kewarganegaraan sama ada ibu atau ayahnya.
Pindaan undang-undang ini dilihat dapat memberikan kelegaan kepada ibu-ibu yang berjuang sekian lama untuk diberikan kesamarataan kewarganegaraan buat manfaat anak-anak mereka, khususnya dalam keluarga transnasional di mana anak-anak mereka lahir di luar negara. Sekalipun tidak bersifat retrospektif, ia merupakan pengiktirafan yang didamba sekian lama.
Namun begitu, pindaan ini tidak akan menjengah kelompok besar masyarakat di pedalaman Sabah, yang masih tergolong dengan status tidak bergara atau ‘statelessness’, sekalipun mereka ini dilahirkan, dibesarkan dan mengenali Malaysia sebagai satu-satunya negara tanah tumpah darah mereka sedari kecil.
Lebih menyedihkan, kebanyakan mereka yang tanpa status warganegara ini adalah generasi-generasi lanjutan. Dalam erti kata lainnya, leluhur mereka adalah warganegara sah.
Jadi, di mana permasalahannya sehingga rakyat Malaysia sendiri dinafikan kerakyatan setelah beberapa generasi memanggil Malaysia sebagai negara mereka?
Melalui Program Tagupi Membaca 6.0 yang berlangsung pada 2 hingga 5 September lalu melibatkan sekumpulan aktivis daripada Semenanjung Malaysia menyantuni masyarakat setempat di Lahad Datu, Sabah bagi menjalankan program kemasyarakatan.
Delegasi Tagupi Membaca 6.0 kali ini termasuk dua orang peguam bertujuan khusus bagi mendapatkan maklumat berkenaan status kewarganegaraan seterusnya meneliti sebarang isu berkenaan permohonan kewarganegaraan ini.
Melalui temubual dengan golongan sasaran berkenaan, beberapa isu telah dikenal pasti, yang menimbulkan persoalan berkenaan cara kerja permohonan kewarganegaraan di Sabah.
BUKTI KESULITAN
Dalam temubual kami, terdapat beberapa tema utama yang menimbulkan kesukaran dalam proses pendaftaran sivil masyarakat di pedalaman Sabah.
Saya ingin berkongsi beberapa dapatan temubual berkenaan.
Temubual pertama bersama Pak Cik R berusia lewat 50-an dilahirkan dan dibesarkan di Lahad Datu. Pada waktu muda, Pakcik R pernah berkhidmat sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Ada dalam kalangan adik-beradik Pak Cik R berstatus warganegara Malaysia, tetapi Pak Cik R tidak. Disebabkan Pak Cik R bukan warganegara, maka anak-anaknya secara automatik berstatus ‘tanpa dokumen’.
Permohonan kewarganegaraan anak-anaknya dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah tetapi ditolak tanpa sebarang alasan.
Kesukaran beranganda timbul kerana anak-anak Pak Cik R sendiri sukar untuk bekerja dan mendirikan rumah tangga. Keluarga Pak Cik R adalah generasi keempat yang masih tidak jelas kerakyatannya di Lahad Datu.
Temubual kedua pula bersama Saudara L, yang adalah menantu kepada Pak Cik R. Lelaki ini dilahir dan dibesarkan di Lahad Datu. Walau bagaimanapun, ibu dan bapanya tidak berstatus warganegara, maka menjadikan Saudara L juga tidak berstatus warganegara.
Apabila diselidiki, datuk kepada Saudara L di kedua-dua belah ibu dan bapanya mempunyai dokumen, malah dapat mengesahkan kewarganegaraan mereka.
Apabila ditelusuri lanjut, ibu dan bapa Saudara L juga merupakan adik-beradik kepada mereka yang telah berjaya menempatkan diri sah-laku daripada Kerajaan Malaysia.
Berlatarbelakangkan fakta ini sekalipun, permohonan ibu dan bapa Saudara L tidak berjaya. Justeru, Saudara L dan anak-anaknya terus berada dalam situasi ketiadaan kewarganegaraan.
Sementara itu, semasa temubual ketiga, Saudari M memberitahu bahawa sijil kelahiran dengan status kewarganegaraan sukar diperoleh.
Setelah ditemubual lanjut, sijil kelahiran berkenaan akhirnya berjaya dikeluarkan. Sijil kelahiran asal sebelum ini menyatakan dia berstatus ‘warganegara’.
Daripada penceritaannya, apa yang terjadi adalah sijil lahir beliau tersebut dibatalkan oleh JPN dan digantikan dengan sijil lahir baru berstatus ‘bukan warganegara’.
Dikatakan nombor sijil kelahiran asal didaftarkan ke atas nama individu lain.
Dikatakan keadaan ini sijil kelahiran asal Saudari M digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab kemudiannya didaftarkan di JPN.
Tembual-temubual yang dikongsi ini hanya sebahagian daripada catatan yang diperolehi. Banyak lagi kes-kes lain yang melibatkan banyak keluarga dan keseluruhan lapisan generasi berbeza.
Jika didedah di ruangan ini dengan pendekatan lebih adil dan 'organik' serta praktikal, akan wujud lebih ramai pangakalan generasi muda yang tidak sah taraf.
Kesanannya, generasi-generasi kemudian ini akan terperangkap dalam tempurung kemiskinan dan berlakunya gejala sosial yang huru-hara.
Malangnya, dalam menangani permasalahan ini, proses pendaftaran sivil di Sabah masih bergelut dengan prejudis dan permainan politik setempat. Ada aduan yang kami terima mengatakan pegawai di JPN bersikap tidak mesra.
Malah difahamkan ada dalam kalangan pegawai yang enggan melayan komuniti/wargapinggir yang hadir ke pejabat satelit JPN di bawah program MESRA. Aduan sebegini tidak sepatutnya berterusan pada tahun 2025.
Masyarakat di pedalaman Sabah mengharapkan kerajaan untuk melancarkan semuala pendaftaran sivil mereka agar permasalahan ini tidak terus diwariskan kepada generasi akan datang.
Menteri Dalam Negeri sebelum ini pernah menyuarakan komitmen untuk meletakkan kemanusiaan melangkaui cengkaman birokrasi. Inilah masa untuk beliau mengotakan janjinya.
Artikel ini turut disiarkan didalam Utusan Akhbar bertarikh 12.09.2025